Rabu, 12 Mac 2014

MESYUARAT AGUNG TAHUNAN PIBG KALI KE-37

Sk Kemasek, Kemaman - Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Kemasek telah diadakan dengan jayanya pada hari Sabtu yang lepas di Dewan Ilmu sekolah mulai jam 9.00 pagi. Mesyuarat tersebut yang telah dirasmikan oleh YB Ir Rosli Bin Othman a.m.n, Adun Kemasek,Kemaman dan telah dimulakan dengan pendaftaran ibu bapa yang hadir, serta edaran borang maklumbalas Sarana Ibu Bapa untuk dilengkapkan sebagai salah satu komponen maklumat di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025.

Ketibaan YB Ir Rosli Bin Othman a.m.n telah disambut oleh pasukan kompang Sk Kemasek, dan satu persembahan Tarian Selamat Datang turut dijayakan oleh murid-murid Sk Kemasek untuk memeriahkan lagi majlis. Selesai persembahan, acara diteruskan dengan ucapan oleh Naib Yang Dipertua PIBG, En. Razali Bin Salleh, yang diikuti dengan ucapan Guru Besar Sk Kemasek, Pn. Sharifah Asiah Bt Syed Othman. Ucapan perasmian majlis telah disempurnakan oleh YB Ir Rosli Bin Othman a.m.n sejurus selepas itu. Dalam ucapannya, beliau menyebutkan tentang beberapa keistimewaan sekolah yang dapat membantu meningkatkan potensi murid untuk mencapai tahap kejayaan yang paling cemerlang. Beliau turut menggariskan usaha-usaha yang dapat dilakukan untuk penambahbaikan kepada prasarana sekolah sedia ada. Majlis juga seterusnya diserikan dengan penerangan dan perasmian FROG-VLE (1Bestarinet) peringkat ibubapa oleh En. Wan Roslan Bin Wan Zaki, Ketua PKG Negeri Terengganu.

Mesyuarat yang bermula selepas sesi jamuan ringan menyaksikan pelantikan Jawatankuasa PIBG untuk tahun 2014/2015, pembentangan minit mesyuarat dan penyata kewangan untuk tahun sebelumnya, serta perbincangan usul-usul yang dibangkitkan oleh ibu bapa untuk catatan dan maklumbalas pihak sekolah. Para ibu bapa dan penjaga murid yang hadir telah memberikan respon yang positif dan membina dalam usaha bersama untuk melancarkan perjalanan sesi persekolahan semasa. Antara perkara menarik yang dibangkitkan dalam mesyuarat kali ini ialah pengumpulan dana bagi membina surau sekolah yang baru.  Untuk pengetahuan semua, usaha mengumpul dana ini telah dimulakan sejak tahun 2013.

Sk Kemasek mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat menjayakan Mesyuarat Agung Tahunan PIBG 2014 kali ke-37.









0 comments:

Catat Ulasan