SEJARAH SEKOLAH

Sekolah Kebangsaan Kemasek

Sekolah Kebangsaan Kemasek telah dibina pada awal tahun 1920an. Ia dibuka atas inisiatif En. Abdul Rahman Bin Ab. Majid bersama dengan beberapa orang penduduk kampung Kemasek. Setelah bangunan sekolah siap dibina, En. Abd Rahman sendiri mengambil tugas sebagai Guru Besar yang pertama sehingga tahun 1921.


Diawal pembinaannya, bangunan sekolah hanyalah sebagai sebuah bangsal yang terletak di persimpangan jalan. Pada tahun 1942, semasa pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu, sekolah ini telah dijadikan tempat belajar bahasa Jepun kepada penduduk tempatan.Setelah tamat zaman pemerintahan Jepun, bangunan sekolah telah diubah ke tapak sekarang.

Pada tahun 1958, bangunan bangsal telah ditukar kepada satu blok bangunan batu yang mengandungi 7 buah bilik darjah.Kemudian pada tahun 1980 dibina pula bangunan 2 tingkat tambahan yang terdiri dari bilik pejabat, bilik guru dan 4 buah bilik darjah. Pada tahun 1983, JKR telah membina bangunan kilat 4 bilik darjah lagi. Seterusnya tahun 1987 satu bangunan kilat pula didirikan oleh JPNT dan 1989 didirikan pula sebuah kantin dan pagar sekolah yang baru.


Dan pada masa sekarang, 2 buah blok bangunan baru juga sedang giat di bina dan dijangka akan siap sepenuhnya pada tahun 2011. Pada tahun 2009 jumlah murid telah dicatatkan sehingga mencapai 800 orang dengan 4 buah blok bangunan.